Syukur kepada Allah, pada bulan Mac yang lalu, Cikgu telah berkesempatan untuk menjadi tetamu di Tanah Suci Mekah. Bersama suami dan anak-anak, cikgu merasa amat bertuah kerana dikurniakan rezeki dan kesihatan untuk mengunjungi bumi bertuah Madinah dan Tanah suci Mekah.
Ada banyak perkara yang Cikgu doakan semasa berada di hadapan Kaabah dan salah satu doa cikgu ialah cikgu memohon agar cikgu akan mejadi guru yang terbaik di dalam bilik darjah, serta permudahkan anak-anak murid cikgu menerima ilmu yang disampaikan oleh cikgu.
Cikgu juga memohon agar setiap keputusan yang cikgu ambil adalah yang terbaik untuk cikgu, bukan hanya baik untuk duniawi sahaja tapi juga beruntung di akhirat.
Cikgu sentiasa berdoa untuk kejayaan anak didik cikgu di SK Kg Laut walau cikgu tidak lagi bertugas di situ. Sebaik sahaja cikgu kembali bertugas selepas menunaikan ibadat umrah, cikgu dikejutkan dengan beberapa peristiwa. Cikgu terpaksa membuat keputusan dan cikgu doakan semoga keputusan cikgu adalah yang terbaik. Panggilan telefon dilayangkan kepada seorang sahabat baik Di PPD Tumpat, " Tolong, saya mahu bertukar dan saya mohon agar pertukaran secepat yang mungkin".
Alhamdulillah permintaan cikgu ditunaikan dan seminggu kemudian memo pertukaran telah sampai ke SK Kg laut. Cikgu di minta untuk ke SK Morak. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang berada di PPD Tumpat yang sangat memahami dan sentiasa menyokong cikgu disaat cikgu perlukan pertolongan.
14 tahun di SK Kg Laut adalah tempoh yang amat panjang. Banyak kenangan suka dan duka cikgu kutip di situ. Namun cikgu terpaksa mengalah pada keadaan. Mungkin Sk Morak memberi pengalaman baru untuk cikgu. Walau berat untuk memohon keluar dari SK Kg laut tapi cikgu bertekad, kerana di mana sahaja kita bertugas. cikgu tetap menjadi seorang guru yang mendidik anak-anak bangsa untuk mengenal cabaran ilmu. Untuk menarik balik keputusan cikgu, rasanya tak mungkin,Kata orang cikgu telah berpatah arang berkerat rotan untuk terus berada di SK Kg Laut. Untuk singgah ke SK Kg laut selepas ke SK Morak pun cikgu rasa berat. "Bila hati telah retak" kata Rubiah Suparman . Tapi memikirkan kawan-kawan yang ramai di situ cikgu gagahkan juga hati sekali-sekala mengunjungi SK Kg laut. Tempat jatuh lagikan dikenang......
Cikgu berdoa semoga penghijrahan Cikgu Ke SK Morak membawa sinar dalam kerjaya cikgu. Cikgu hanya ingin menjadi seorang guru yang ikhlas mendidik anak-anak bangsa dan sentiasa doakan cikgu....